Tuesday, March 18, 2008

Penyelidikan jadi teras tugas pensyarah

Ahli-ahli akademik di Universiti mempunyai dwifungsi yakni untuk menyampaikan ilmu (penyelidikan). Kedua-dua kegiatan ini sama pentingnya dan suatu rumusan yang seimbang haruslah dicari untuk kemajuan universiti ini khasnya dan juga negara amnya. Sepanjang 35 tahun sejak penubuhan UKM pada tahun 1970, ahli-ahli akademik telah giat melakukan penyelidikan dalam berbagai-bagai jurusan keilmuan yang relevan yang bangsa dan negara.

Kegiatan penyelidikan telah menjadi satu teras utama dalam tugas-tugas seorang pensyarah. Sudah pastilah penyelidikan di Universiti yang multi disiplin ini meliputi hampir keseluruhan spektrum kegiatan manusia termasuklah sejarah, kebudayaan, sains, teknologi, pengajian Islam dan kesihatan. Hasil-hasil penyelidikan telah dibentang dalam berbagai-bagai persidangan, diterbitkan sebagai buku atau majalah-majalah dalam jurnal tempatan mahupun antarabangsa. Ada juga hasil penyelidikan yang berpotensi untuk kemajuan masyarakat.

Selain daripada peruntukan Universiti yang berjumlah RM1 juta setahun dan juga dana luar, UKM mulai 1988 telah memperolehi peruntukan dari program IRPA (Intensification Research in Priority Areas) dari pihak kerajaan untuk menjalankan penyelidikan dalam empat sektor iaitu sektor Pertanian, Industri, Perubatan dan Strategik. Di antara tahun 1988 hingga 1990, UKM telah memperolehi peruntukan sebanyak RM19,242,345 untuk 81 projek jangka panjang.

Bagi Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995) UKM telah diperuntukkan sebanyak RM41,777,976 untuk keempat-empat sektor untuk tempoh tersebut ialah 360. Pencapaian projek penyelidikan di bawah program IRPA sangat memberangsangkan dan beberapa projek telah mula dikomersilkan.

Untuk menunjukkan iltizam yang bersungguh dari UKM terhadap aktiviti penyelidikan, pusat kecemerlangan (centres of excellence) telah ditubuhkan di peringkat Universiti seperti Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Masyarakat (IKMAS), Unit Penyelidikan Mutu Makanan dan Pusat Sistematik Serangga. Antara beberapa pusat kecemerlangan yagn sedang dalam perancangan adalah yang meliputi bidang pengajian strategik dan keselamatan, kajian polisi dan praktis percukaian, kajian kegagalan cerun dan gelinciran tanah dan juga di bidang termoplastik dan komposit.

UKM dijangka memperolehi peruntukan yang lebih besar dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) dalam bidang penyelidikan. Oleh yang demikian untuk memastikan kelancaran perjalanan pengurusan penyelidikan di UKM di samping mendapat hasil yang maksimum, satu unit yang dinamakan Pengurusan Penyelidikan telah ditubuhkan. Fungsi unit ini ialah menyelaraskan segala urusan penyelidikan di UKM yang melibatkan laporan, urusan kewangan, latihan kepada penyelidik dan juga sebagai penghubung dengan pihak luar. Dengan kerjasama Biro Rundingan dan Kembangan, hasil-hasil penyelidikan yang berpotensi akan dikomersilkan.-Bernama

No comments: